Showing posts with label kapal terbang. Show all posts
Showing posts with label kapal terbang. Show all posts

Thursday, 15 October 2015

Bagaimana ibu hamil boleh kekal selesa ketika menaiki kapal terbang


Assalamualaikum.
Salam sejahtera semua. Sebelum ni saya dah kongsikan sedikit info mengenai selamatkah ibu hamil menaiki kapal terbang. Hari ni saya nak kongsikan sedikit tips bagaimana ibu hamil boleh kekal selesa ketika menaiki kapal terbang. Semoga info ini bermanfaat untuk semua.

#Tips 1

Duduk diam untuk jangka masa yang panjang boleh membuatkan tapak kaki dan buku lali ibu hamil bengkak dan kaki anda kejang. Bergerak-geraklah kira-kira tiga hingga empat minit setiap sejam supaya darah dapat beredar dengan baik. Berjalanlah di sepanjang lorong tengah pesawat dan buatlah senaman regangan yang mudah.

Duduk atau berdiri, regangkan kaki, tumit dahulu, dan perlahan-lahan tarik tapak kaki untuk meregangkan otot-otot betis. Apabila sedang duduk, pusingkan buku lali dan gerak-gerakkan jari kaki. Pusingkan bahu ke kedua-dua arah, pusingkan leher dengan menjatuhkan telinga ke bahu dan perlahan-lahan pusingkan leher ke depan dan ke belakang. Ulangi kesemua senaman ini 10 kali.


#Tips 2


Pilihlah tempat duduk bersebelahan lorong sekiranya boleh untuk memudahkan anda bangun dan membuat senaman-senaman tesebut. Untuk lebih selesa, ibu hamil boleh memilih tempat duduk premium atau di kelas pertama atau bisnes supaya ada lebih ruang untuk anda dan perut anda.

Jika kerusi di sebelah kosong, letak kaki di atas. Buka kasut, dan ingatlah bahawa tekanan dalam kabin boleh membuatkan tapak kaki anda bengkak semasa dalam penerbangan.


#Tips 3


Terbang juga boleh membuatkan ibu hamil ternyahhidrat kerana udara dalam kabin agak kering. Minumlah air sekerap mungkin untuk mengelakkan ternyahhidrat. 


#Tips 4


Terbang ketika sedang hamil boleh meningkatkan sedikit risiko mendapat masalah thrombosis (darah beku) dan urat simpul. Memakai stoking mampatan (stoking penerbangan) semasa menaiki penerbangan dapat membantu mengekalkan peredaran darah yang baik. Pastikan membeli saiz stoking yang sesuai dan pakai dengan betul. Pakai stoking tersebut sebelum bangun dari katil pada waktu pagi dan teruskan memakainya sehingga masuk tidur selepas penerbangan.

Jika ibu hamil nampak sebarang kebengkakan, lenguh-lenguh, lebam atau kemerahan pada kaki, terutamanya di bawah belakang lutut, dapatkan bantuan perubatan dengan segera. Ini boleh jadi tanda darah beku.


Langkah-langkah lain untuk ibu hamil kekal selesa ketika menaiki kapal terbang.

Maklumkan kepada kakitangan penerbangan bahawa anda sedang hamil dan tanya sekiranya anda boleh dinaik taraf ke kelas yang lebih tinggi di mana ruangnya lebih besar dan anda boleh mendapat layanan yang lebih istimewa.

Jika ini tidak dapat dilakukan, anda masih boleh menikmati penerbangan tanpa stres dengan cara:

·      1.   Tiba awal di lapangan terbang supaya anda mempunyai banyak masa untuk mendaftar masuk dan melepasi kawasan keselamatan lapangan terbang. Jika anda rasa anda perlu bergegas ke pintu pelepasan, anda tidak akan rasa tenang dan ini bukanlah permulaan yang baik.

·         2.Mintalah tempat duduk bersebelahan lorong dalam kapal terbang supaya mudah bagi anda untuk bangun dan meregangkan kaki atau untuk pergi ke tandas.

·         3.Pakai pakaian yang longgar dan selesa dan kasut yang selesa. Laraskan tali pinggang keselamatan di bawah perut, menyilangi pelvis anda.

·      4.   Pergilah ke tandas sebaik sahaja anda menaiki kapal terbang kerana bimbang kalau-kalau penerbangan tersebut terpaksa menunggu untuk berlepas dan anda tidak dibenarkan meninggalkan tempat duduk.

·        5. Minum banyak air masak atau air mineral dan jus buah-buahan. Jangan minum sebarang minuman yang boleh menyebabkan anda ternyahhidrat seperti teh, kopi dan alkohol.

·    

Sekian perkongsian saya, hopefully info ini membantu ibu-ibu hamil diluar sana. Stay tuned for my next entry ya .


Tuesday, 13 October 2015

Selamatkah wanita hamil menaiki kapal terbang

Assalamulaikum salam sejahtera semua.

Hari ni entry saya nak kongsikan sedikit mengenai wanita hamil dan penerbangan menaiki kapal terbang serta sedikit info penerbangan untuk wanita hamil bagi MAS dan air-asia. Jom scroll kebawah.


Berdasarkan laporan Kolej Obstetrik dan Ginekologi Amerika (ACOG), keadaan persekitaran berkaitan penerbangan boleh menyebabkan peningkatan kadar degupan jantung, tekanan darah tinggi naik dan sukar bernafas bagi ibu-ibu hamil yang lemah sistem kardiovaskularnya.
Dalam kenyataan yang sama, ACOG memberitahu, masa paling selamat untuk terbang adalah apabila kandungan masuk tiga bulan kedua/trimester kedua.
Kebanyakan keguguran berlaku dalam tempoh trimester pertama manakala trimester ketiga membawa risikonya yang tersendiri seperti kelahiran pramatang dan lain-lain komplikasi.
Umumnya tiada sebarang komplikasi pada ibu atau bayi yang dikandung semasa berada di udara. Kecuali jika berlaku perkara-perkara yang tidak dijangka misalnya kelahiran mengejut atau kecemasan obstetrik lain.
Andai kata berlaku kecemasan seumpamanya, bantuan yang dapat diberikan pada tahap minimum. Ini wajib diketahui oleh semua wanita hamil sebelum mengambil keputusan menaiki pesawat.
Menurutnya, dalam kes-kes tertentu penerbangan tidak digalakkan atas sebab-sebab kesihatan bagi mengelakkan komplikasi akibat kelewatan atau ketiadaan bantuan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini kerana risikonya terlalu tinggi.

Fenomena Tromboembolisme (VTE)

Keadaan ini menyebabkan darah membeku di dalam salurannya. Jika tidak bernasib baik, darah beku itu kemudiannya beralih tempat ke saluran darah di paru-paru lantas menghalang pengoksigenan.
Ini boleh membawa kepada kematian mengejut. Fenomena ini pada awalnya lebih kerap berlaku pada wanita Barat berbanding Timur. Akibat perubahan gaya hidup, pemakanan dan saiz badan, insidennya diperhatikan meningkat di dalam masyarakat tempatan khususnya pada wanita hamil berbadan besar.
Di United Kingdom, fenomena ini digelar Sindrom Kelas Ekonomi berikutan berlakunya beberapa kes yang melibatkan kematian mendadak wanita muda yang menaiki pesawat kelas ekonomi dari perjalanan jauh, melebihi 18 jam.
Semasa di dalam pesawat terutamanya bagi perjalanan jauh, sangat perlu untuk anda bergerak dari tempat duduk dari semasa ke semasa. Minum air yang mencukupi. Jika perjalanan terlalu jauh, penggunaan stoking ketat khas dapat membantu mengurangkan risiko VTE.
Bagi wanita hamil yang pernah mengalami VTE, ada waris terdekat yang mempunyai masalah sama atau mempunyai berat badan berlebihan, pemeriksaan kesihatan yang teliti adalah sangat mustahak sebelum perjalanan.

Kelahiran Tidak Cukup Bulan

Tiada bukti saintifik yang menyokong bahawa penerbangan meningkatkan risiko keguguran atau kelahiran tidak cukup bulan.
Kalau pun berlaku, ia mungkin kerana si ibu stres jika penerbangan mengambil masa yang lama dan dalam keadaan tidak selesa.
Berlainan dengan ibu yang hamil lebih daripada seorang janin, mempunyai sejarah kelahiran tidak cukup bulan atau, pintu rahim tidak ketat, risiko melahirkan bayi tidak cukup bulan adalah lebih tinggi sekali pun tidak menaiki pesawat.
Jika mempunyai rancangan untuk menaiki pesawat, mereka harus mendapatkan pemeriksaan teliti daripada pakar perbidanan dan dicadangkan supaya menerima nasihat doktor dengan serius.
Hal ini penting kerana jika kelahiran berlaku di dalam pesawat, bantuan terhadap bayi yang berisiko tinggi ini dapat diminimumkan.

Ubat-ubatan Tertentu Dapat Membantu Mengurangkan Risiko Ini
Semakin tinggi kedudukan seseorang dari paras laut (altitud), semakin rendah tekanan separa oksigen. Bagaimanapun, bagi penerbangan komersil, altitud penerbangan lazimnya hanya memberi perbezaan tekanan separa oksigen yang kecil.
Hal ini, biasanya tidak memudaratkan bayi di dalam kandungan kerana mereka dianugerahkan sistem pertahanan yang dapat menahan perubahan tekanan separa oksigen yang tidak keterlaluan.
Bagaimanapun, perbezaan kecil ini boleh memberikan kesan negatif terhadap bayi yang dikandung oleh ibu anemia dan dinasihat mendapatkan rawatan terlebih dahulu.
Jika perjalanan tidak dapat dielakkan sebelum anemia dapat dirawat, ibu ini perlu mendapatkan bekalan oksigen dalam perjalanan.
Bagi pesakit sel sikel (jarang berlaku di Malaysia), adalah lebih baik jika perjalanan dapat dielakkan kerana krisis penyakit ini lebih mudah berlaku pada altitud tinggi.
Jika tidak, bekalan oksigen semasa perjalanan mungkin dapat membantu mengurangkan risiko komplikasi.

Kemalangan Di dalam Pesawat

Tali pinggang keselamatan di dalam pesawat harus dipakai di bawah perut supaya jika terdapat sebarang pergerakan mendadak, bahagian tulang pelvis yang akan menyerap impak tersebut dan bukannya bahagian bertentangan rahim.
Sekali gus, ini dapat mengurangkan risiko uri terpisah awal dari kawasan tempelannya pada rahim ataupun kebocoran rahim. Kedua-dua insidens ini boleh menyebabkan kematian ibu dan bayi.
Kecemasan Obstetrik
Satu perkara yang mesti diketahui, kehamilan risiko rendah boleh berubah menjadi berisiko tinggi pada bila-bila masa dan ada kalanya di luar jangkaan.
Seseorang ibu boleh dengan tiba-tiba terasa hendak bersalin dan melahirkan bayi dalam waktu yang singkat walaupun sebelum itu keadaannya adalah normal. Begitu juga dengan komplikasi-komplikasi kehamilan lain yang boleh berlaku secara mendadak.
Syarikat penerbangan tidak mempunyai perkhidmatan kesihatan yang mencukupi di udara walaupun kemudahan asas seperti oksigen dan cecair aliran vena ada disediakan.
Oleh itu, wanita hamil harus bersedia secara mental untuk menghadapi risiko sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangkakan semasa di dalam penerbangan.
Perjalanan menaiki pesawat semasa hamil adalah selamat apabila seseorang wanita itu berpengetahuan tentang risikonya dan mengambil langkah-langkah wajar sebelum dan semasa perjalanan.
Wanita-wanita hamil yang berisiko tinggi harus sedar akan bahaya yang mungkin dihadapi dan dapat menimbangkan sama ada risiko yang diambil benar-benar berbaloi. Adalah lebih baik jika perjalanan ini dapat dielakkan. Mematuhi nasihat doktor adalah sangat perlu dan mustahak di dalam konteks ini.
Sumber Maklumat (Mingguan Malaysia, 16 Julai 2006)

Saya kongsikan petikan dari laman web air-asia dan MAS mengenai penerbangan bagi wanita hamil.


Dipetik dari laman web air-asia


Keselamatan dan kesejahteraan anda sangat penting buat kami, jadi jika anda tetamu hamil atau mengembara dengan tetamu hamil, sila ambil perhatian terhadap petua, terma & syarat berikut:

Beberapa petua:
Kami sangat-sangat mengesyorkan agar anda mendapatkan nasihat doktor sebelum mengembara pada bila-bila masa sepanjang kehamilan anda.

1. Supaya lebih selamat, dapatkan surat daripada doktor anda. Tarikh surat ini tidak sepatutnya melebihi 30 hari pada hari perjalanan (penerbangan keluar DAN pulang)
2. Anda tidak akan – dan tidak sepatutnya – mendapat kebenaran doktor sekiranya kehamilan anda dianggap berisiko tinggi.
3. Untuk perjalanan pulang, sila pertimbangkan tarikh jangkaan kelahiran bayi anda. Dan sebelum anda merancang penerbangan rentas negara atau antarabangsa, bayangkan bagaimana anda akan rasa sesak dan terbatas di tempat duduk untuk berjam-jam lamanya.

Penting! Terma & Syarat:
Menjadi kewajiban penumpang hamil untuk memberitahu kami tentang tahap kehamilan mereka ketika menempah Tempat Duduk dan di kaunter daftar masuk. Pengangkutan bagi penumpang hamil tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

a. Kehamilan sehingga 27 minggu (termasuk): Tetamu hendaklah menandatangani Penyata Liabiliti Terhad AirAsia/AirAsia X semasa daftar masuk untuk membebaskan AirAsia/Airasia X daripada apa-apa liabiliti yang timbul akibat pengangkutan semasa kehamilan tersebut.
b. Kehamilan antara 28 minggu hingga 34 minggu (termasuk):
- Tetamu perlu menyerahkan surat akuan doktor yang disahkan.
- Surat akuan doktor itu mengesahkan bilangan minggu kehamilan dan surat tersebut hendaklah bertarikh tidak melebihi tiga puluh (30) hari dari tarikh perlepasan yang dijadualkan untuk penerbangan keluar atau masuk ke dalam negara, mengikut mana yang berkenaan.
b2. Tetamu hendaklah menandatangani Penyata Liabiliti Terhad AirAsia/AirAsia X semasa daftar masuk untuk membebaskan AirAsia/Airasia X daripada apa-apa liabiliti yang timbul akibat pengangkutan semasa kehamilan tersebut.
c. Kehamilan pada atau melebihi 35 minggu: pengangkutan dalam penerbangan AirAsia/AirAsia X tidak dibenarkan.


Untuk penerbangan MAS pula:


  1. Penumpang yang hamil normal )tanpa komplikasi boleh menaiki pesawat sehingga umur kehamilan 35 minggu)
  2. Surat keterangan doctor harus dibawa untuk mengesahkan bahawa penumpang berada dalam keadaan fit untuk berada dalam pesawat bergantung kepada tarikh kelahiran yang dijangkakan (expected due date)
  3. MAS tidak membenarkan penerbangan bagi penumpang yang hamil pada bulan terakhir kehamilan sehingga tujuh hari sebelum tarikh melahirkan yang dijangkakan.

Semoga perkongsian kali ini bermanfaat unuk anda. Stay tuned for my next entry …