MASALAH pelajar tidak minat mata pelajaran Sejarah bukan satu perkara baharu malah menjadi satu kebimbangan terutama apabila Kementerian Pelajaran Malaysia meletakkan mata pelajaran itu wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula tahun lepas.

Perkara ini dibincang secara serius oleh ahli sejarawan dan akademik dalampelbagai bidang pada Sidang Kemuncak Sejarah anjuran Persatuan Sejarah Malaysia.

Tiga siri rencana ini mendalami permasalahan yang dihadapi pelajar, guru, sekolah serta insitusi pengajian tinggi serta pendekatan yang boleh diambil bagi menjadikan Sejarah, mata pelajaran yang berkesan dan diminati.

KUALA LUMPUR - Persepsi negatif terhadap mata pelajaran sejarah, yang wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat menjadi antara halangan proses pembinaan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Bagi menyingkirkan persepsi itu Kementerian Pendidikan melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang antara lain untuk memperkasakan mata pelajaran yang dilabelkan sebagai membosankan, kaku dan tiada nilai komersial itu.

Ahli akademik dan sejarah berharap proses tranformasi melalui PPPM itu dapat membantu membina kekuatan jati diri yang unggul dalam kalangan generasi muda dan seterusnya melahirkan warganegara yang mempunyai identiti nasional.

Namun persoalannya, sejauhmana mata pelajaran wajib lulus bermula tahun lepas itu dapat membantu pembentukan bangsa Malaysia yang berkualiti kerana ia sering dianggap ketinggalan zaman, sukar dan membosankan.


Sejarah dan isu identiti 

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, Tan Sri Omar Mohd Hashim berpendapat krisis identiti yang berlaku di kebanyakan negara menyebabkan rakyatnya tidak memahami siapa diri mereka dan apakah peranan dan tanggungjawab yang sepatutnya dimainkan.

Ini berikutan cabaran dunia tanpa sempadan yang semakin hebat menyebabkan generasi muda begitu mudah terdedah kepada perubahan dan keterbukaan yang boleh melunturkan kesetiaan terhadap negara dan bangsa.

Pelbagai kajian dilakukan di seluruh dunia mendapati sebahagian rakyat negara tertentu jahil sejarah sehingga menjadi fenomena sosial global yang paling mendapat perhatian sejak akhir ini.

Melihat kepada keruncingan itu, dunia mula melihat sejarah sebagai satu medium penting dalam dasar awam untuk menangani permasalahan isu identiti dan memperkasakan perpaduan.

Negara-negara Asia seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, China dan Singapura telah ke hadapan dalam transformasi pendidikan sejarah ke arah yang lebih progresif.

Malaysia tidak seharusnya ketinggalan untuk menerapkan aspek kemahiran pemikiran sejarah sebagai satu kompenan utama dalam proses pembelajaran dan pengajaran di peringkat sekolah.


Kurikulum berorientasikan transformatif

Menurut Omar, kebanyakan negara mula mengamalkan kurikulum yang berorientasikan transformatif bagi membolehkan pendidikan sejarah difokuskan untuk kemahiran berfikir.

"Melalui PPPM, Kementerian Pendidikan telah mengenalpasti kemahiran abad ke-21 bagi melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

"Pemikiran ke atas pendekatan dan orientasi kurikulum sejarah juga harus diberi perhatian yang besar", katanya dalam ucaptama Sidang Kemuncak Sejarah yang diadakan di Wisma Sejarah baru-baru ini.

Penumpuan hendaklah diberikan kepada usaha memperbaiki keberkesanan pendidikan sejarah di sekolah terutama menekankan dari segi kurikulum, tahap profesional guru yang tinggi, pembelajaran yang lebih aktif dan kreatif.

Tegasnya, keadaan semakin mendesak untuk memantapkan kandungan kurikulum yang menjurus kepada pembinaan bangsa dan negara.

Sudah tiba masanya, pendidikan pembinaan sejarah perlu digiatkan sebagaimana usaha-usaha meningkatkan mata pelajaran lain yang dianggap penting sepertimana Bahasa Inggeris, Sains dan Matametik.


Teknik menghafal fakta membosankan pelajar

Namun, usaha melihat subjek Sejarah berperanan dalam pembinaan bangsa masih kabur, sekiranya rungutan-rungutan yang dilontarkan pelajar berhubun mata pelajaran itu tidak dapat diatasi.

Kaedah memaksa pelajar menghafal fakta yang dipraktikkan dalam pengajaran mata pelajaran itu sejak sekian lama menjauhkan lagi pelajar dengan sejarah.

Kajian Meningkatkan Kemahiran Menjawab Soalan Esei Sejarah yang dilakukan oleh Rozita Ngah Mohamed dan Zaliza Md Zali pada tahun 2005 ke atas 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Convent, Jalan Peel mengenalpasti beberapa masalah pelajar terhadap mata pelajaran itu.

Antaranya sikap para pelajar yang malas membaca, sukar mengingati fakta, tidak berminat dengan mata pelajaran Sejarah, tidak menguasai apa yang diajar serta pembelajaran kurang berkesan.

Keadaan ini dikatakan berpunca daripada buku teks yang terlalu menekankan fakta selain kurangnya kemahiran guru untuk menghurai dan mentafsir satu-satu peristiwa sejarah yang berlaku.

Sementara itu, pensyarah pengkomputeran dan teknologi maklumat Dr Wong Seng Yue dari Universiti Taylor's dalam kajiannya ke atas 582 pelajar tingkatan empat dan 15 guru sejarah di lima buah sekolah di Kajang mendapati mereka sukar mengingati fakta sejarah.

Katanya, apabila penekanan hanya kepada bahan teks semata-mata, ia menyebabkan pelajar tidak mendapat gambaran jelas tentang peristiwa sejarah yang berlaku sekaligus menyukarkan mereka memahami dan menghayatinya.


Daya pemikiran analitikal rendah

Dalam menangani permasalahan itu, PPPM yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat berupaya menjadi wadah penyelesaian kepada permasalahan itu.

Bagaimanapun, pelan yang mewajibkan mata pelajaran Sejarah wajib lulus dalam SPM bermula tahun lepas menjadi kebimbangan dalam kalangan ahli akademik kerana ia dilihat sebagai satu paksaan dan bukannya penyelesaian masalah.

Ini juga sekaligus menjejaskan proses menyemai minat dan penghayatan pelajar terhadap sejarah sebagai medium pembinaan bangsa kerana ia kini menjadi satu lagi mata pelajaran merebut kecemerlangan dalam peperiksaan.

Guru-guru pastinya akan menggunakan pelbagai kaedah bagi membantu pelajar menghadapi peperiksaan termasuk latih tubi bagi membolehkan pelajar mengingati tarikh, nama tokoh dan peristiwa yang berlaku.

Ia dilihat tidak akan merubah bentuk pengajaran yang diamalkan sebelum ini dan pastinya membantutkan usaha untuk melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara analisis dan kritikal seperti yang mahu dilahirkan dalam PPPM.

Kajian sebelum ini mendapati masih ramai pelajar sekolah terutama di peringkat menengah rendah masih minimum penguasaan mereka dalam mengenali sejarah sebagai elemen patriotisme, mengumpul dan merekodkan fakta sejarah.

Ini diperoleh melalui kajian Kemahiran Dan Keyakinan Pelajar Dalam Perlaksanaan Kerja Kursus Sejarah (KKS) Di Sekolah oleh Prof Dr Chan Yuen Fook dari Fakulti Pendidikan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

KKS wajib diambil setiap calon Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) berbentuk tugasan projek luar bilik darjah bagi memenuhi keperluan persijilan dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang peka dan minat terhadap sejarah serta mampu mengamalkan unsur-unsur patriotisme.


Tidak mahir merumus dan menghuraikan fakta

Kajian yang dijalankan di beberapa buah sekolah di sembilan buah negeri itu turut mengenalpasti punca masalah itu termasuk ada pelajar yang tidak mendapat bimbingan yang cukup daripada guru selain lemah dalam Bahasa Melayu serta tidak mahir membuat rumusan dan menghuraikan fakta.

Ini menunjukkan, pelajar-pelajar belum mencapai kemahiran abad ke-21 yang menuntut pemikiran kritikal, menganalisis serta berkebolehan menguasai pelbagai bentuk komunikasi.

Kajian itu turut mencadangkan perlunya penambahbaikan dalam menjadikan KKS lebih menarik dan berupaya memotivasikan pelajar seperti mengadakan aktiviti lawatan sambil belajar ke tempat bersejarah.

Kini, sudah tiba masanya persepsi negatif dalam kalangan pelajar terhadap sejarah perlu diubah sekiranya ingin melahirkan warga negara yang utuh jati diri nasionalnya.

Anjakan paradigma ini memerlukan kerjasama seluruh pihak dalam memasyarakat dan meremajakan lagi pengajaran mata pelajaran sejarah supaya tidak lagi dianggap sebagai satu mata pelajaran membosankan dan tidak bermanfaat kepada mereka.

Justeru, tumpuan penuh disandarkan kepada PPPM dalam merealisasikan matlamat berkenaan namun tetap menjadi persoalan tentang sejauhmanakah ia mampu mencorakkan satu penyelesaian terhadap polemik yang telah lama diperdebatkan ini. - Bernama

Ha panjang lebar artikel ni moga manfaat untuk kita.. Sekian adioss
#sayajualshaklee
Id:908559
012-5932706